Wednesday, January 3, 2007

Karya-Diganggu lembaga putih








Tugasnya sebagai seorang editor sebuah majalah yang diterbitkan setiap minggu sering
memerlukan Shamsul stayback di pejabat hingga tengah malam atau ada kalanya hingga pagi.





Namun pada malam itu Shamsul merasakan kelainan. Kalau tadi terdengar juga gelak ketawa
Mimi dan rakan-rakannya sedang menaip, sekarang ruang editorial sunyi sepi. Semua wartawan
sudah pulang. Tinggallah Shamsul seorang diri. Sesekali dia menjenguk ke arah bilik grafik di mana
Aiman sedang tekun menyiapkan kerja-kerjanya. Jam tangan menunjukkan pukul 2.45 pagi.
Tiba-tiba dia terdengar seseorang mengimbas kad di pintu. Siapa agaknya yang baru pulang itu,
bisik hati Shamsul. Mungkin rakan-rakan yang bekerja di tingkat atas agaknya. Tak lama selepas
itu, dia tersedar seolah-olah ada bayang-bayang manusia di hadapannya. Tapi bila mengangkat
kepala dan melihat sendiri, tiada siapa di hadapannya. Tapi bila dia tunduk menatap helaian
majalah di mejanya, bayangan itu muncul kembali.




Shamsul memberanikan diri untuk melihat sekali lagi. Kali ini apa yangdilihatnya ialah seorang
wanita berpakaian putih sedang duduk di atas meja di hadapannya. Wanita itu berbaju putih lusuh
labuh hingga tidak ternampak kakinya. Shamsul tidak panik.




“Agaknya ini perempuan yang selalu kacau orang yang selalu stayback kat ofis ni,” bisik Shamsul dalam hati. Tak berani menatap makhluk itu lama-lama, Shamsul buat-buat tak nampak dan
meneruskan pembacaannya. Mulutnya kumat-kamit membaca ayat suci Al-Quran yang diingati
sambil memohon supaya makhluk tersebut beredar dari situ. Hampir lima minit juga benda tu
berada di hadapan editor muda itu. Bau wangi melur dan setanggi yang dari tadi memugar terus
menerjah hidung.




Dalam samar cahaya lampu Shamsul perasan makhluk itu turun dari meja dan mula bergerak
menuju ke arah kawasan water cooler. Ketika makhluk itu membelakanginya, Shamsul sempat
melirik pandangan dan melihat rambut yang ikal mayang paras lutut itu. Seiring dengan berlalunya
wanita itu, bau wangi pun turut lenyap.





Hatinya sangat lega. Peluh jantan membasahi kemeja belangnya. Kipas angin yang berputar pada
kelajuan nombor 2 pun tidak dapat menghilangkan rasa dingin hangat yang tidak menentu itu.
Lantas Shamsul melangkah ke bilik grafik. Rasa gerun masih ada. Mana tahu makhluk itu masih
ada di sebalik dinding cubicle di sebelahnya. Langkah diatur laju, seolah-olah berlari anak.




“Kenapa ni Abang Sham, pucat, nampak hantu ke?” tanya Aiman.




“Engkau ni Man, mulut celupar sangat. Engkau tahu tinggal kita berdua kat ofis sekarang ni,” jawab
Shamsul menyembunyikan apa yang berlaku. Melalui dinding kaca, Shamsul melihat satu persatu
lampu di bahagian editorial terpadam seolah-olah ada orang yang mematikan suisnya.




Kedua-dua mereka terpinga-pinga dan memandang ke arah satu sama lain. Kemudian satu persatu
lampu di dalam bilik mereka pula yang terpadam. Bunyi suis dipadamkan jelas kedengaran
memecah kesunyian.





Shamsul menggeletar dan bulu tengkuknya meremang. Hanya cahaya dari skrin komputer Aiman
sahaja yang membuatkan mereka melihat antara satu sama lain. Selari dengan itu tiba-tiba sahaja
radio yang terletak di meja tengah terpasang. “Agaknya ada benda sedang main-mainkan kita
Aiman,” kata Shamsul kepada Aiman.




Aiman tidak dapat meneruskan kerja-kerjanya. Mereka mengambil keputusan pulang sahaja. Tidak
guna untuk terus berada di situ kalau terus-terusan diganggu hingga tidak dapat menyiapkan kerja.
Mereka pulang tepat jam 4.00 pagi.







:: Ke Atas ::






No comments: